Pada hari rabu malam khamis 3 hb Oktober yang lepas, Mak Ngah Nyamah, mak saudara aku iaitu kakak arwah abah yang tinggal di Jelebu, Negeri Sembilan dah meninggal dunia. Kami dapat berita tu dari Apai. Oleh kerana hari Jumaat ada majlis menyambut menantu di rumah mertuaku, aku tak dapat nak pergi. Mak dan hampir semua adik beradik aku balik Jelebu melawat arwah kecuali aku dan kak Jurai. Aku tak tau nak sedih ke tidak sebab aku memang langsung tidak rapat dengannya memandangkan dia tinggal di Jelebu dan kami tidak berjumpa sekian lama. Paling akhir aku berjumpa dengannya sewaktu dia dan kak Tipah berkunjung ke rumah aku untuk berjumpa abah. Waktu itupun dia dah nyanyuk walaupun mata dia masih boleh melihat dengan jelas. Anak dia kak Tipah yang menjaganya pun dia panggil mak. Secara jujurnya aku tidak kenal rapat dengan saudara maraku baik dari sebelah mak dan abah yang tinggal di Bahau,Jelebu, Kuala Pilah dan Kuala Klawang walaupun mereka sangat ramai berbanding saudara mara aku di Terengganu memandangkan keturunan asal aku adalah orang negeri Sembilan. Sebab kami tinggal di Terengganu berpunca dari tokki sebelah mak yang berhijrah dari Negeri Sembilan ke Kijal kerana Kijal memerlukan seorang guru. Jadi tok ki aku adalah orang yang pertama menjadi guru dan guru besar yang pertama di Sekolah kebangsaan Kijal. Kalau aku pergi ke majlis anak beranak aku kat negeri Sembilan pun rasa tak seronok sebab rasa seperti terasing di kalangan saudara mara sendiri. Aku mendoakan agar roh mak saudara aku sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan ahli Syurga. Yang pasti adik beradik abah sudah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah sepupu-sepupu aku dan yang lainnya.