Abah dah tak ada. Pada 24 September yang lalu selepas berbuka puasa suamiku terima call dari kak aishah memberitahu yang abah dah tenat. Kami terus bersiap dan bertolak balik ke rumah. Sepanjang perjalanan aku tak putus-putus membaca al fatihah untuk abah. Malam itu di sepanjang perjalanan di Kerteh, hujan sangat lebat hingga tak nampak kereta di depan. Aku dah mula risau takut lambat sampai ke rumah mak.
Sebaik saja sampai di rumah mak aku lihat beberapa buah kereta di perkarangan rumah mak. Hatiku berdetik resah. Sebaik sahaja masuk je ke dapur , hatiku bagai nak luluh bila melihat abah yang sedang nazak, abah lelah teramat sangat bagai tak cukup nafas. Abah tak pernah lelah sebelum ini. Di tepi abah aku melihat abang Zahar, abang Mi dan Pak Su sedang membaca yassin. Aku terpaku melihat abah. tidak lama kemudian abah dipindahkan ke atas di tengah rumah.
Abah masih lagi lelah,tiba-tiba dia batuk dan bunyi seperti ada benda yang tersekat dikerongkongnya. Aku tak tau nak buat apa, aku hanya mampu pandang abah sehingga kak Ain meminta aku menyuap dan menyapu air zam-zam ke mulut abah. Sambil menyapu, aku pandang abah, sesekali aku aku suapkan air zam-zam ke mulut abah dan aku ajar abah mengucap. aku pegang tangan abah, tangan abah dah sejuk. Tiba-tiba abah nafas abah perlahan. Abah memandang aku dengan pandangan yang sangat dalam. air mata aku dah mula berderai dengan laju. Aku baca surah an-Nas dan ajar abah mengucap. Mak yang berada di dapur berlari naik ke atas bila aku panggil mak. Abang Mie pegang dada abah hinggalah Pak Su yang berad berhampiran kepala abah berkata, " Tak Dok doh. Innallillah" . Akhirnya, abah menghembuskan nafas terakhirnya di hadapanku dan tangannya masih dalam genggaman aku. Luluhnya hati aku hanya Allah sahaja yang mengetahuiNya. Aku cuba kawal perasaan supaya aku tidak meraung, tapi airmataku mengalir laju. Aku lap airmataku dan aku cium dahi abah dan menutup mata abah. Mak lari ke dapur dan menangis dalam bilik di dapur. Setelah itu abah aku tinggalkan kerana aku tak sanggup berada lama di situ. Bertambah luluh hati aku dan aku menangis lagi bila pembantu rumah mak memberitahu aku, " kakak, dua tiga hari sebelum pergi, abah berkali-kali menyebut nama kakak dan kak jurai dan nak minta maaf. Kata abah, " abah minta maaf, abah minta maaf" ". Mungkin sebab itulah juga rezekiku dapat berada dan menatap abah semasa akhir hayatnya.
Abah dimandikan malam itu sebelum dimandikan sekali lagi esok hari. Malam itu kami membaca yasin bergilir-gilir dan aku menemani abah tidur di dalam bilik. Aku kerap menatap abah. Badan abah sangat sejuk, tapi muka abah sangat tenang dan bersih seolah-olah dia tidur dengan lenanya. Kak Juyah , abang bakar , anak-anaknya dan Mazidah sampai lebih kurang pukul 4 pagi. Kesian Mazidah sebab tak sempat jumpa abah.
Pagi itu sebelum disembahyangkan, kami semua mencium abah buat kali terakhir kali. Sebelum mencium abah, air mataku dah berderai bila melihat abah yang siap dikafankan dibawa keluar dari bilik. Bila selepas mencium dahi dan pipi abah, airmataku berderai lagi. Luluh hatiku melihat jasad abah yang akan hilang dari pandangan mataku sekejap lagi. Abah tetap tenang macam tidur dengan lena yang panjang. Abah selamat disemadikan berhampiran kubur cucu abah dan tok ki. Hatiku luluh lagi bila melihat tanah mula menimbusi keranda abah, cuma kali ini aku sudah tidak mampu mengalirkan air mata lagi kerana airmataku sudah kering. Mataku bengkak seolah ditumbuk orang.
Hari itu, kami bergotong royong beramai-ramai adik beradik memasak untuk majlis tahlil dan berbuka puasa. Alhamdulillah, semuanya lancar. abah disemadikan tepat pada masanya. Kata abang Zahar, ramai yang datang menggali kubur pada malam itu. Masing-masing dah risau sebab hari gelap nak hujan. Tapi malam itu tidak hujan dan urusan menggali sekejap sahaja. Memandikan abah pun mudah sahaja. Ramai juga yang datang semasa sembahyang jenazah dan urusan pengkebumian juga sangat lancar.
Malam ke dua majlis tahlil diadakan di surau berhadapan rumah Pak Su. Selepas berbuka di rumah pak Su, kami terus balik, baca yassin di rumah beramai-ramai dan sembahyang Isyak serta Tarawikh berjemaah. Di saat abang bakini melaungkan azan, mak menitiskan air mata kerana keadaan seperti ini berlaku hanya selepas abah dah tiada.
Kata ka zu, di mana tanah diambil untuk dijadikan manusia, di situ juga dipulangkan. Abah lahir di Jelebu, Negeri Sembilan, tapi akhirnya disemadikan diKijal. Aku sentiasa berdoa pada Allah agar arwah abah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman dan di syurganya. Abah dah banyak menderita. Moga Allah ampunkan segala dosa abah.
Kini abah dah tak ada, aku dah jadi anak yatim. Aku ambil tuala mandi abah sehelai dan bantal lapik abah di dalam keranda sebagai kenanganku pada abah sampai akhir hayatku. Mazzidah kata masih terngiang-ngiang di telinganya perkhabaran memberitahu abah dah tak ada, tapi aku katakan pada mazidah aku terbayang lagi saat abah meninggalkan aku disisiku. dan setiap kali terkenang, pasti airmataku mahu tumpah. Adakah suratan Allah hanya aku dan abang Mie yang sempat mengadap abah di akhir hayatnya dan bukan orang lain yang paling dekat rumahnya dengan rumah abah atau semuanya secara kebetulan. Apa pun jua keadaannya, aku tetap sedih kerana kehilangan abah tapi aku puas hati kerana aku sempat memohon ampun dengan abah walaupun aku tak tahu abah ampunkan atau tidak anaknya yang nakal ini dan berada di sisinya di akhir hayatnya.